H1N1: Dua lagi Meninggal | ||
|
Oriental Daily dalam khidmat berita ringkas melalu mesej SMS menyebut dua orang menjadi korban virus wabakpetang ini iaitu seorang kanak-kanak 9 tahun dan lelaki 37 tahun dilaporkan meninggal di Hospital Kluang, Johor.
Hari ini, 33 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan - sesemuanya jangkitan tempatan di kalangan rakyat tempatan.
Sebanyak 28 kes merupakan kejadian dari sembilan gugusan baru penularan wabak, dan selebihnya kes terpencil.
Sementara itu, Bernama melaporkan, semua klinik serta hospital termasuk milik swasta kini digalak menggunakan pemeriksaan saringan influenza pantas bagi tiap simptom seperti selesema untuk mereka yang memohon berbuat demikian - sebahagian strategi tambahan mengawal penularan wabak.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik berkata ujian berkenaan seharusnya dibuat sebaik sahaja simptom itu mula dikesan.
"Semua kes-kes positif influenza A kini boleh dirawat dengan antivirus (oseltamivir). Malah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesyorkan penggunaan pemeriksaan pantas ini dalam membantu keputusan klinikal, dan bagi penyaringan segera wabak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketepatan ujian itu hanya sekitar 70 hingga 75 peratus, dan pesakit yang disahkan negatif dalam ujian berkenaan masih dinasihati mengambil segala langkah berjaga-jaga dan mendapatkan rawatan lanjut sekiranya keadaan bertambah serius.
Beliau berkata semua klinik dan hospital itu juga boleh merawat pesakit yang disyaki dijangkiti influenza A(H1N1) dengan oseltamivir.
"Bagaimanapun bagi yang mengalami masalah kesihatan yang bertambah serius, mereka seharusnya dirujuk kepada hospital untuk rawatan," Liow dipetik berkata.
Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan tidak akan meneruskan laporan harian mengenai jumlah pemeriksaan dan kes-kes disahkan dalam negara kerana ia tidak lagi memberikan gambaran mengenai keadaan sebenar jangkitan itu dalam negara.
Liow berkata ini kerana WHO sendiri tidak lagi meminta negara-negara terbabit membuat pemeriksaan dan laporan kes-kes individu memandangkan laporan berkenaan tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar akar umbi.
Beliau berkata bagaimanapun kementerian Kesihatan akan terus melaporkan jumlah kes-kes yang dibawa ke hospital untuk rawatan sebagai pesakit luar dan jumlah kematian supaya orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini jangkitan dalam negara.
No comments:
Post a Comment