KUALA LUMPUR: Tiga lagi kematian dicatatkan akibat wabak Influenza A (H1N1) menjadikan angka kematian kini meningkat kepada 18 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 53 kes baru turut dilaporkan menjadikan jumlah yang disahkan positif mencecah 1,578 kes.
"Keadaan ini amat serius. Kita memerlukan orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menghentikan penularan virus ini. Kita boleh melakukannya jika kita bekerjasama," katanya selepas merasmikan pembukaan HSC Japan Clinic di sini, hari ini.
Tiga yang maut akibat wabak itu adalah seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Hospital Kuantan yang turut menderita penyakit encephalitis dan seorang kanak-kanak empat tahun yang menderita penyakit hyperthyroidism dan pneumonia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Kedua-duanya meninggal dunia semalam.
Seorang lagi adalah warga emas berusia 63 tahun yang menghidap penyakit asma beserta tuberculosis dan pneumonia yang meninggal dunia di Hospital Selayang, Khamis lalu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Liow menggesa orang ramai mematuhi nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan perhatian serius tentang wabak ini.
Semalam, Perdana Menteri berkata Influenza A (H1N1) menjadi ancaman serius dan menasihati orang ramai agar menjauhkan diri daripada menghadiri acara yang tidak perlu yang melibatkan ramai orang.
Liow turut mengingatkan orang ramai agar meningkatkan amalan menjaga kebersihan, memakai topeng dan menjauhkan diri daripada mereka yang mempunyai simptom seperti selesema.
Mengenai ubat antiviral Tamiflu, menteri itu menasihatkan orang ramai agar jangan mengambilnya sesuka hati jika masih sihat dan tidak dijangkiti virus ini kerana ubat tersebut akan melawan dan jika selepas itu menghidapi Influenza A(H1N1) ia tidak berkesan lagi.
"Saya ingin memberi amaran bahawa ini sangat penting, hanya mereka yang sakit dan dengan nasihat doktor boleh mengambil ubat antiviral Tamilflu," tegas Liow.
Sementara itu, Liow berkata, Kementerian Kesihatan mengawasi sepenuhnya persiapan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang akan disambut tidak lama lagi berikutan penularan wabak tersebut.
Katanya, setakat ini persiapan menyambut Hari Kemerdekaan berjalan lancar dan beliau tidak dapat membayangkan sebarang kemungkinan namun sebarang perkara boleh berlaku.
Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican telah diarah memantau keadaan wabak ini.
Katanya, seramai 23,000 murid dan pelajar serta kira-kira 47,000 orang dijangka hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil pada 31 Ogos ini.
Liow menasihati peserta agar menjaga kebersihan dan mereka yang tidak sihat disarankan agar tidak hadir pada hari raptai dan perarakan. Katanya, peserta dan pengunjung pada hari sambutan itu akan menjalani pemeriksaan dan semua penganjur acara hendaklah menyediakan pembersih tangan dan memeriksa suhu badan tetamu.
No comments:
Post a Comment