Wednesday, December 23, 2009

Mahathir cabar siasat isu seleweng RM100 bilion




Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar perdana menteri agar menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan beliau menyelewengkan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Mantan perdana menteri menyahut desakan tokoh popular DAP Lim Kit Siang semalam yang mahu kerajaan berbuat demikian sewaktu mengulas pendedahan dalam buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain.

Karya bekas editor kanan akhbar berpengaruh Asian Wall Street Journal itu kini ditahan pihak berkuasa Malaysia di Pelabuhan Kelang tanpa sebarang alasan.

Mengulas tindakan menahan buku tersebut di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sebarang "perlindungan" daripada kerajaan dengan berbuat demikian.

Beliau malah menggesa buku setebal 368 halaman terbitan Palgrave Macmillan itu dibenarkan beredar di negara ini.

Selain itu, Dr Mahathir juga mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim, Wain dan Malaysiakini jika tuduhan-tuduhan dalam buku tersebut didapati tidak benar oleh suruhanjaya diraja tersebut.

Bersetuju dengan gesaan Lim, mantan perdana menteri berkata penubuhan suruhanjaya itu lambang kesungguhan Datuk Seri Najib Razak "membanteras rasuah" di negara ini.

Dr Mahathir bagaimanapun meletakkan beberapa syarat, antaranya suruhanjaya itu nanti harus turut menyiasat penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dituduhnya menyebabkan kerugian akibat pembatalan beberapa projek yang dimulakannya.

Beliau juga mencadangkan anggota-anggota suruhanjaya itu disertai oleh tokoh-tokoh berwibawa dari luar negara, termasuk pemimpin NGO anti-rasuah terkenal Transparency International, selain pegawai lantikan kerajaan.

No comments:

Post a Comment