Monday, December 7, 2009

Dedahkan Laporan Tragedi Kuala Dipang


Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Tan Seng Giaw mengesyorkan bahawa Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin membentangkan laporan mengenai tragedi Kuala Dipang di Dewan Rakyat sebelum sesi ini ditangguhkan.

Pada 7 Disember 2009, Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan usul YB Ngeh Koo Ham bahawa perbelanjaan bagi perkara Maksud Bekalan/Pembangunan 41 supaya gaji Menteri Pelajaran Muhyiddin bin Mohd Yassin dipotongkan sebanyak RM10.

Melanting menuju tampuk,
Berkata menuju benar.

Usaha membentangkan usul ini adalah dengan maksud untuk menarik perhatian Menteri Pelajaran mengenai kelemahan-kelemahannya. Memang ada perkara-perkara yang baik yang telah dilakukan seperti memberi peruntukan kepada sekolah menengah bukan kebangsaan dan memberhentikan PPSMI selepas membelanjakan lebih RM5 bilion.

Tetapi, terdapat kekurangan-kekurangan di dalam kementeriannya. Misalnya, cara-cara YB Pagoh (gambar kanan) mengendalikan Tragedi Kuala Dipang yang mengorbankan tiga murid. Pada mulanya, beliau tidak menunjukkan perasaan simpati dengan spontan. Tindakan disyaki berdolak-dalik.

Kita berharap beliau boleh mengemukakan laporan Tragedi Kuala Dipang di Dewan sebelum sesi ini ditangguhkan supaya rakyat dapat mengetahui apakah sebenarnya berlaku dengan tragedi tersebut. Seterusnya, langkah-langkah boleh diambil untuk mengatasi kelemahan-kelemahannya.

Usaha untuk membolehkan para pelajar cerdik pandai bagi mendapat pendidikan yang sesuai dan mencapai potensinya adalah betul. Program YAB mencungkil bakat disertakan dengan serentak projek isteri YAB Perdana Menteri. Nampaknya, ada dwi menteri pelajaran. Kita mestilah mengelakkan program yang bertindih.

Sementara itu, lebih 80% murid dan pelajar haruslah dididik dengan baik. Kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada murid atau pelajar Kelas-Kelas A, B dan C sahaja. Kita juga perlu mencari jalan-jalan untuk mendidik majoriti murid dan pelajar dengan tepat agar mereka dapat hidup dengan cara yang bermakna di dalam masyarakat.

Peruntukan Kementerian Pelajaran RM 30 bilion adalah hampir 17% dari RM191.5 jumlah bajet 2010. Peruntukan ini wajib digunakan dengan berkesan tanpa ketirisan.

No comments:

Post a Comment