Ada beberapa perkara menarik sekitar budaya yang mahu saya tulis  untuk wacana kali ini sebenarnya. Tapi, ada pula satu hal yang sejak  beberapa hari lalu asyik menjenguk ke dalam fikiran, dan seperti meminta  supaya dibicarakan, atau setidak-tidaknya diperhatikan.
Perkara  tersebut ialah mengenai gaji seorang tokoh perniagaan, yang banyak  diperkatakan akhir-akhir ini, apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri  Khalid Ibrahim mahu mengembalikan kemakmuran ekonomi Selangor kepada  rakyatnya, atau apa yang disebut-sebut sebagai "merakyatkan ekonomi".
Ini  satu daripada beberapa perkara baik yang segera dilakukan oleh Khalid  Ibrahim apabila mengambilalih teraju pentadbiran Selangor pada Mac 2008.  Dia sendiri seorang tokoh korporat, seorang tokoh perniagaan, sebelum  masuk ke bidang politik. Maka sesuai dengan kepakaran dan pengalamannya  itu, dia memberi perhatian lebih kepada hal-hal ekonomi.
Salah  satu perkara yang diperhatikannya ialah air (di samping soal pasir dan  sebagainya). Air di Selangor, seperti yang kita semua tahu, diswastakan  pengurusannya kepada sebuah syarikat, dan syarikat itu (seperti yang  kita semua pun tahu) dikenali sebagai Syabas. Kerja ini, yakni  menswastakan pengurusan air ini, dilakukan di zaman negeri Selangor  diperintah oleh Umno-BN.
Khalid Ibrahim memang tahu dan arif  sangat dengan perkara penswastaan ini. Dia tahu kenapa pemimpin Umno-BN  melakukannya, (kerana dia sendiri pun pernah berada di situ juga  dulunya). Keputusan untuk memberi air percuma sebanyak 20 meter padu  setiap bulan kepada rakyat Selangor itu bukanlah dibuatnya secara  sembrono, tanpa mengkaji untung ruginya terlebih dahulu. Dia mempunyai  cukup maklumatnya.
Maka dia mahu hentikan amalan gila merompak  hak dan kekayaan rakyat yang sekian lama diamalkan oleh para pemimpin  Umno-BN itu, yang salah satunya adalah melalui penswastaan air. Ada  banyak lagi yang lain-lainnya, yang akan ditanganinya satu persatu.  (Mungkin selepas ini Alam Flora).
Ini adalah antara episod  pendedahan kerja-kerja jahat-zalim pemimpin Umno yang cukup menarik  untuk diperhatikan, dan didedahkan kepada rakyat, supaya rakyat faham  dan sedar siapa sebenarnya pemimpin Umno yang sekarang sedang  menjerit-jerit "ketuanan Melayu" itu.
Dan paling menarik dalam  episod ini, setakat ini, (sekurang-kurangnya bagi orang atau rakyat  biasa seperti saya), ialah apabila didedahkan jumlah gaji dan elaun yang  diterima oleh tauke dan ketua eksekutif (CEO) syarikat yang menguruskan  air bersih di Selangor itu, sebanyak RM425 ribu sebulan, atau RM5.1  juta setahun (seperti dilaporkan).
RM425 ribu sebulan! Bukan  RM4,250 dan bukan RM42,500 pun. Tapi RM425 ribu atau hampir setengah  juta ringgit sebulan. Sesuatu yang kita tak pernah terfikirkan pun.  (Pernahkah? Oh ho, oh ho!) Dan syarikat itu apa perniagaannya? Air!
Air  apa? Air biasa! Air yang kita buat minum, mandi, basuh pakaian dan  sebagainya itu. Mereka buat perniagaan daripada air itu, yang sumber  asalnya boleh didapat percuma di merata-rata bumi di negara kita ini,  mereka buat berniaga dan mereka boleh untung sampai begitu besar sekali,  sampai taukenya boleh terima gaji sebanyak hampir setengah juta ringgit  sebulan.
Ada dua perkara menarik di sini. Pertama, benda yang diperniagakan, dan kedua, jumlah gaji yang terlalu besar.
Benda  yang diperniagakan, seperti telah disebut tadi, ialah air. Benda biasa.  Benda yang asalnya adalah hak semua orang. (Dan sepatutnya ia terus  menjadi hak semua orang, yakni hak Kerajaan, yang memegang amanah untuk  rakyat, 'kan!) Alih-alih, di tangan Umno-BN ia ditukarkan menjadi barang  perniagaan yang boleh membawa keuntungan yang tersangat besar.
Kalau tidak tersangat besar, macamana taukenya boleh ambil gaji sampai dekat setengah juta ringgit sebulan?
Tahu  banyak mana RM425,000 sebulan tu? Kalau anda nak beli rumah teres dua  tingkat di sekitar Kuala Lumpur, anda tak perlu tunggu lama. Sebulan  gaji saja cukup untuk bayar cash. RM425,000 bahagi 30, jadi RM14,167  sehari.
Kerja apa boleh dapat untung bersih untuk seorang RM14 ribu setiap hari?
Hah  ha ... kerja menguruskan air untuk rakyat jelata sebuah negeri yang  sebesar negeri Selangor. Siapa yang bayar dia? Siapa yang upah dia?  Siapa yang pilih dia untuk buat kerja yang semudah itu?
Tanyalah  apa nak tanya pun, dan katalah apa nak kata pun. Memang tak masuk akal.  Tak ada penjelasan. Melainkan bahawasanya itu adalah satu penipuan dan  perompakan hak rakyat secara terang-terang, yang dilakukan sendiri oleh  sebuah kerajaan yang bernama Umno-BN.
Dan satu perkara yang cukup  menariknya di sini, bagi saya, ialah bagaimana seorang manusia Islam  boleh dengan bersahajanya dan selambanya mengambil duit sebanyak itu  setiap bulan dan menganggap itu sebagai hak dia. Dan apabila ada seorang  Menteri Besar baru hendak  membuat perundingan semula dengan dia supaya  perkara itu menjadi lebih wajar, waras, masuk akal dan bersifat agak  kemanusiaan, dia membantahnya dengan sekeras-kerasnya dan mempercayai  bahawa hukum atau undang-undang akan menyebelahinya.
Menarik!  Cukup menarik! Melihatnya dari sudut kajian kemanusiaan, atau kajian  manusia. Bagaimana seorang manusia boleh atau mampu mengambil wang  sebegitu banyak daripada rakyat jelata yang sebahagian besarnya masih  bermasalah untuk membayar bil air walaupun sekadar RM50 sebulan.
Masyarakat  apakah masyarakat kita sekarang, yang boleh mewajarkan hal-hal seperti  ini berlaku di kalangan kita? Seorang Menteri Besar (yang dipilih oleh  rakyat) terpaksa berhadapan dengan seorang manusia yang diberikan  hak-hak tertentu dan dikawal oleh undang-undang negara, apabila dia  hendak mengembalikan semula air yang asalnya adalah hak rakyatnya,  kepada rakyatnya
 
No comments:
Post a Comment