Saturday, October 24, 2009

Ada Pilihan Najib Ganti Musa


GELOMBANG kemarahan rakyat Sabah yang selama ini tertampan oleh kekangan politik UMNO dan Barisan Nasional berjaya menyeberangi Laut Cina Selatan untuk ke bekas tanah jajahan China, Hong Kong yang merupakan destinasi terakhir ‘adik angkat Musa Aman’ ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) bersama $16 juta dollar Singapura di Lapangan Terbang Chek Lap Kok pada 14 Ogos 2008.

Sejak daripada tarikh tangkapan yang selama ini menjadi rahsia dan penafian demi penafian Musa dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC atau SPRM) berjaya menyorok dan hibernasi isu ini di dalam vacuum Peguam Negara Malaysia.

Namun tindakan bijak Ketua Angkatan Muda PKR Semporna, Ramzan Abdul Wahab yang diketuai oleh Ketua Angkatan Muda PKR Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 1 Oktober 2009 membuat laporan rasmi di Independent Commission Against Corruption (ICAC), North Point, Hong Kong pada jam 10 pagi telah membolosi ‘Total Media Blackout’ dalam jangka masa yang agak lama bagi sesuatu isu antarabangsa.

Ramai melihat isu ‘Jenayah Michael Chia’ lebih tertumpu kepada tempias survival politik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana secara kebetulan Ramzan merupakan ‘saudara terdekat’ kepada Shafie Apdal yang sebelum ini bercita-cita untuk kembali ke Sabah sebagai Ketua Menteri.

Ramzan juga adalah anak saudara kepada Tun Sakaran kerana bapa Ramzan, Abdul Wahab Panglima Abdullah ialah abang kepada dua isteri Sakaran, Halimah dan Rukayah Panglima Abdullah.

Walaupun pada dasarnya, Ramzan bertindak atas kapasitinya sebagai ‘pemimpin pelapis PKR Sabah’ yang berani menuding jari kepada lubang hidung Musa Aman, namun senario ini membuatkan hubungan antara Musa-Shafie semakin renggang dan tidak berpenghujung setelah Ramzan dan Shamsul meletakkan paku keranda terakhir kepada karier politik Musa Aman yang sebelum ini begitu gagah menutup semua kes rasuah termasuk ‘81 Dalil’ yang difailkan Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam keadaan terkapai-kapai dan ‘lugai-lugai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan hanya mampu melihat bukti demi bukti didedahkan Shamsul kepada ICAC termasuk transaksi penggubahan wang haram daripada Michael Chia ke akaun Musa Aman melalui pemegang amanah akaunnya, Richard Barnes dan proksinya Nasir Yeo.

Pemergian Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohammad ke Hong Kong bersama lapan pegawai siasatan, walaupun lebih dilihat sebagai usaha terakhir untuk menjalankan siasatan dan memadamkan api di tanah gambut ICAC; namun memberikan impak yang besar kepada Musa Aman kerana Michael Chia hanya sebagai proksi dan dalam masa yang sama adalah Agen Penggubahan Wang Haram yang hidup mewah di Malaysia tetapi bebas daripada cengkaman SPRM yang kononnya diletakkan di dalam ‘kocek’nya.

Akhirnya ‘kekebalan’ Michael Chia berjaya ditembusi oleh tindakan nekad dua pejuang rakyat ini yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa untuk sampai ke Hong Kong dan membuat laporan rasmi terhadap ICAC setelah menyedari SPRM umpama lembut gigi daripada lidah.

Pendedahan demi pendedahan Sabahkini.net secara berprinsip dan bukannya fitnah melulu meletakkan isu ini sebagai ‘membongkar rahsia di sebalik enigma’ dan menaikkan martabat media masa di Sabah yang selama ini di bawah telunjuk Musa Aman sehingga berlaku ‘Total Media Black-Out’ sehinggalah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu membuat laporan polis pada 2008 dan Shamsul Iskandar serta Ramzan membuat laporan di ICAC Hong Kong pada 1 Oktober 2009.

Sejak daripada itu, media arus perdana mula mengikuti kelantangan akhbar berbahasa Cina mendedahkan isu ini dan berani mengaitkan kes jenayah yang dilakukan Michael Chia dengan Musa Aman secara peribadi kerana Michael Chia bukanlah tokoh ternama dan hanyalah kaki sabung ayam sebelum ini.

Di kalangan masyarakat Cina, nama Musa Aman seburuk nama Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam yang terlibat dengan Skandal Judi di Ritz Carlton, malah lebih memalukan apabila PKR mendedahkan bahawa Musa adalah salah satu komponen rangkaian ‘Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan’ yang menggunakan Hong Kong sebagai Pangkalan Operasi utama selain daripada Australia dan Singapura.

Walaupun Musa Aman mempunyai ramai peguam handal, namun tidak berani untuk membersihkan namanya di persada politik tanah air kerana kesannya amat besar kepada karier politiknya dan maruah kerajaan negeri Sabah yang mengikut kepercayaan masyarakat Cina sebagai di sumpah ‘Dewi Laut Ma Tzu’.

Kini nama Malaysia dijaja di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah sebuah Negara yang membiayai kegiatan keganasan kerana Ketua Menteri salah satu negerinya terlibat secara langsung dengan Skandal Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan.

Bagi menyelamatkan senario ini, Najib yang masih trauma dengan pilihanraya kecil mungkin terpaksa menggunakan kaedah ‘pilihanraya kecil’ untuk menyelesaikan isu pengganti Musa Aman yang kini masih berbelah bahagi kerana tidak ada calon yang layak menggantikan ‘Three Billion Dollar Man’ ini.

Calon yang layak di minda Najib hanyalah ‘Big Brother’nya iaitu Datuk Seri Shafie Afdal yang tewas dalam percaturan awal politik Musa Aman sehingga terlempar ke Kedah kini bangkit kembali mengumpulkan kekuatan untuk kembali ke Sabah berbekalkan keyakinan penuh Najib kepadanya.

Laluan Shafie agak mudah kerana terdapat tiga kerusi Dun yang boleh dimenangi dengan ‘tutup mata’ di Senallang, Sulabayan dan Bugaya kerana kesemua Adun berkenaan sedia memberikan laluan kepada Shafie secara ‘barter trade’.

Walaupun terdapat enam Adun Lantikan di dalam Perlembagaan Negeri Sabah boleh diguna pakai selaras dengan senario ketika Datuk Peter Lo dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah daripada Adun Lantikan, namun persoalannya mahukah Najib menggunakan formula yang pernah digunakan Allahyarham Tun Mustapha ini untuk membuat keputusan secara bijaksana dan mendapat kepercayaan rakyat.

Jika formula Adun Lantikan digunapakai, maka Shafie, Salleh dan Anifah turut berpeluang menjadi Ketua Menteri Sabah menggantikan Musa.

Beberapa portal berita sebelum ini meramalkan Datuk Masidi Manjun akan menggantikan Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah dan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, namun ianya hanya gossip liar politik yang cuba membunuh karier politik Masidi dengan melaga-lagakannya dengan kroni Musa Aman yang secara hakikinya mahu memastikan ‘pelaburan mereka!’ terpelihara.

Selain Masidi, Datuk Hajiji Haji Noor, Datuk Nasir Tun Sakaran, Datuk Yahya Hussin adalah antara calon utama yang sedang dalam pertimbangan Najib namun Nasir mungkin menarik diri bagi memberi laluan kepada Shafie sebagai kesinambungan kepada ‘Politik Kekeluargaan’ yang diwarisi daripada Tun Sakaran selama ini.

Nama lain yang meniti dari bibir ke bibir selain Shafie ialah Datuk Anifah Aman dan Datuk Salleh Tun Said, namun ketiga mereka ini dijangka terkeluar daripada saringan kerana mereka bukannya Adun melainkan jika Najib sanggup mengadakan pilihanraya kecil.

Dengan kedudukan yang agak kukuh, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said juga disebut-sebut sebagai pengganti Musa yang telah ‘membunuh’ karier politiknya pada pilihanraya umum lalu, namun Najib Berjaya mengesan kebolehan Mantan Ketua Menteri Sabah dan membajai bakatnya dengan melantik Salleh pada hiraki yang kukuh dalam UMNO Sabah.

Sekalipun Salleh tidak berminat untuk menjadi ‘Ketua Menteri Sabah’ sekali lagi, namun Najib hanya mempunyai dua pilihan sama ada untuk melantik Shafie atau Salleh, namun formulanya tetap sama iaitu terpaksa mengadakan pilihanraya kecil bagi membolehkan mereka menjadi Adun terlebih dahulu.

Bagaimanapun Salleh dilihat lebih memihak kepada Musa Aman berikutan penganugerahan darjah kebesaran negeri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) kepada isteri Salleh, Datin Seri Raya Erom yang membawa gelaran Datuk, namun apakah ini mampu menyelamatkan Musa Aman daripada kegelinciran kuasa?

Pemerhati politik lebih menjurus kepada Shafie sebagai ‘Pengganti Musa’ kerana besar kemungkinan Shafie akan melantik Nasir atau penyokong kuatnya, Datuk Abdul Rahim Ismail sebagai Ketua Menteri sementara sehingga pilihanraya umum ke 13 kelak, sebelum Shafie bertukar posisi.

Merasa panas bahang politik ‘Cili Padi Shafie’, orang kuat Musa Aman telah menggunakan lidah Timbalan Presiden PKR, Tian Chua merosakkan nama baik Shafie yang mengaitkan beliau dengan perlantikan ‘tidak teratur’ kontraktor bekalan elektrik di Sarawak di ruang legar lobi parlimen beberapa hari lalu.

Pada Persidangan Agung UMNO baru-baru ini, Shafie turut dimalukan apabila semua perwakilan UMNO Kedah mendapati beg perwakilan yang diserahkan kepada mengandungi risalah memburukkan Shafie secara malafide.

Melihat kepada senario ini, Musa yang terpana dengan palitan Skandal Michael Chia di Hong Kong akan cuba menyelamatkan diri dengan berundur secara terhormat atau dimalukan seperti Tan Sri Kasitah Gadam dan Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan apabila ‘pemerintah’ menggunakan SPRM sebagai ‘Senjata Pembunuh Automatik’ yang tidak kelihatan.

Satu-satunya pilihan yang Musa ada ialah mengundur diri secara terhormat kerana Najib yang mula pulih daripada imej buruk ‘Monggolia’ akan memastikan Musa Wajib ditukar dan penggantinya haruslah rakan atau regu rapat Najib yang boleh menzahirkan aspirasi 1Malaysia ciptaan Najib untuk membongkar semua ‘Koridor’ yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi di Sabah.

Walaupun ada pihak ketiga yang akan mengambil kesempatan dengan menahan lukah di pergentingan, namun gabungan dua pemimpin Bajau yang dilahirkan USBO, yang digelar 2S iaitu Shafie dan Salleh mampu membersihkan nama baik dan meremajakan semula UMNO Sabah yang selama ini menjadi ‘Pelacur Politik’ di persada politik tanah air.

Salleh sebagai ‘Underdog’ tidak menaruh sebarang harapan untuk menjadi Ketua Menteri Sabah buat kesekian kalinya setelah pernah dikhianati kawan, namun ramai melihat beliau berpotensi mengeluarkan Sabah daripada negeri kedua termiskin di Malaysia melalui budaya kerja cemerlang selama dua tahun menjadi Ketua Menteri Sabah.

Dalam satu majlis rasmi, Musa pernah terlanjur cakap bahawa selagi beliau bernafas, beliau tidak akan memberi peluang kepada Shafie dan Salleh menggantikan beliau, namun takdir adalah penentu segalanya.

Mampukah Musa menampan gelombang ‘2S’ yang mula menggodam kotak fikirnya yang akan mengalami kendala akibat renjatan litar pintas politik yang semakin hari semakin ketara sehingga satu persatu proksi dan kroninya mula menjauhkan diri kerana bimbang kejatuhan mendadak Musa akan mengakibatkan mereka turut dipadamkan daripada lakaran kek ekonomi yang mereka perjuangkan selama ini.

Ramai melihat, Musa mungkin akan menggunakan formula 2A iaitu menamakan adiknya, Datuk Anifah Aman yang akan mengiringi Shafie atau Salleh dalam pilihanraya kecil atau menantunya, Datuk Ariffin Ariff sebagai penggantinya menjelang pilihanraya umum ke 13 jika beliau terpaksa berundur atas ledakan Skandal Hong Kong kepada pengetahuan Dunia.

Anifah dan Ariffin adalah Legasi Musa Aman dalam politik Sabah yang mampu meneruskan kesinambungan ‘Dinasti Aman’ bagi menjaga pelaburan Musa dalam hampir semua projek di Sabah kerana Musa Aman adalah satu-satunya Ketua Menteri Sabah yang ‘berniaga’ dan bukannya ‘berkhidmat kepada rakyat.’

Musa kini semakin jelas berjaya ditranformasi Shafie daripada aset kepada Mantan Perdana Menteri (Pak Lah) dan kini sebagai liabiliti kepada Najib dan UMNO. Hanya satu pilihan yang tersedia untuk Musa iaitu berundur secara terhormat atau dijatuhkan secara laknat!

No comments:

Post a Comment